FOMCA: Sekolah perlu pantau harga makanan kantin | Selangorkini


FOMCA: Sekolah perlu pantau harga makanan kantin

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Pihak sekolah digesa memainkan peranan lebih tegas dalam memantau kualiti dan harga makanan dijual di kantin, kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, kebiasaannya setiap sekolah mempunyai jawatankuasa dianggotai guru bagi memastikan tiada isu berbangkit berhubung makanan di kantin.


Katanya, sekolah perlu memastikan kedua-dua aspek berkenaan berada pada tahap baik dan berpatutan sesuai dengan perbelanjaan purata pelajar.

“Jika didapati harga mahal, sekolah boleh ambil tindakan sewajarnya supaya perkara itu dapat dikawal, begitu juga jika didapati ia tidak sepadan dengan nilai ditawarkan, maka tindakan sama juga boleh diambil.

“Dengan kawalan dan pemantauan sekolah, isu berbangkit seperti harga mahal, makanan tidak berbaloi, ‘sedih’ dan sebagainya dapat dielakkan,” katanya kepada SelangorKini.

YUSOF FOMCAMohd Yusof berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga boleh memainkan peranan terbabit jika sekolah tidak mengambil sebarang tindakan.

“Kalau sekolah gagal pantau makanan di kantin mereka, KPM perlu masuk campur dan pastikan tiada masalah kerana kita tidak mahu isu ini mengganggu pelajar dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembelajaran mereka,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalamannya melihat pelajar sekolah menikmati makanan di kantin yang dirasakan tidak sepadan dengan harga.

Dakwanya, pelajar sepatutnya menerima lebih dengan harga RM2, bukan sekadar sedikit kubis berkuah air atau kepala ikan keli semata-mata.

Dikongsi hampir 20,000, rata-rata pengguna turut berkongsi kisah sedih makanan kantin di sekolah anak masing-masing.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next