PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS tawar bidang berimpak tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 1 FEB: Kolej Antarabngsa INPENS (INPENS) bakal memperkenalkan lebih banyak bidang berimpak tinggi dan mendapat pasaran industri seperti bidang kimpalan selewat-lewatnya pertengahan 2018.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu bagi memperkasakan Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya ia adalah seperti dihasratkan Kerajaan Negeri dalam Belanjawan 2017 dengan peruntukan dana RM5 juta bagi membangunkan prasarana INPENS.

Selain itu, dana tambahan RM1 juta pula disalurkan setiap tahun bagi menaik taraf kursus kemahiran sedia ada serta memperkenalkan kursus kemahiran baharu berpotensi dikembangkan.

“Peruntukan ini disalurkan bagi memastikan INPENS terus berdaya saing dalam memberikan latihan kemahiran kepada pelajar menuntut di sini.

“Ini membuktikan Kerajaan Selangor sememangnya komited dalam usaha menjadikan bidang TVET sebagai bidang pilihan ramai memandangkan pasaran kerja yang amat meluas.

IMG_4153“Selangor juga berhasrat menjadi model kepada negeri lain dalam membangunkan serta memperkasakan TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat perkembangan semasa bengkel kursus kulinari dan pastri yang baru diperkenalkan di INPENS sambil diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Zabri Mohd Yaman.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zabri menerangkan perancangan hala tuju INPENS yang memfokus kepada beberapa perkara termasuklah memperkasa kualiti tenaga pengajar, menaiktaraf fasiliti dan menjalinkan hubungan erat dengan pihak industri terutamanya syarikat bereputasi tinggi bagi memudahkan penempatan pelajar.

Selain daripada peruntukan ditetapkan di dalam Belanjawan 2017, RM4 juta lagi disalurkan setiap tahun bagi membiayai yuran pengajian pelajar di INPENS yang mempunyai pendapatan keluarga di bawah RM3,000 sebulan dan menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta.

INPENS terletak di Kuala Selangor secara keseluruhannya menawarkan pengajian kemahiran di dalam sepuluh bidang berimpak tinggi iaitu automotif, motosikal, penyamanan udara, teknologi maklumat, jahitan, kecantikan, dandanan rambut, kulinari dan pastri, elektrik dan elektronik.

Setiap tahun, INPENS mampu melahirkan seramai 900 tenaga mahir yang kompeten dalam bidang kemahiran masing-masing bagi menampung peningkatan permintaan industri.

=EZY=


Pengarang :