JAIS: Jamal manipulasi dan ambil kesempatan | Selangorkini


JAIS: Jamal manipulasi dan ambil kesempatan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 FEB: Siasatan awal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan terdapat unsur manipulasi dan mengambil kesempatan ke atas pengurusan van jenazah untuk turut serta dalam demonstrasi diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos, semalam.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat individu yang mendakwa wakil Gabungan NGO Selangor menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah.


Katanya, antara sebab sewa dinyatakan adalah bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“JAIS amat kesal dengan tindakan dilakukan beberapa individu tidak bertanggungjawab kerana mengeksploitasi kemudahan masjid bagi tujuan demonstrasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Tindakan mereka mencemar kemuliaan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan.

HARIS JAISHaris berkata, semakan JAIS mendapati pemilikan van jenazah terlibat terbahagi kepada empat kategori iaitu dimiliki dan diselia Pegawai serta Jawatankuasa Masjid Kariah, swasta atau persendirian, agensi persekutuan yang disumbangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) juga Badan Khairat Kematian berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan yang tidak dikawal Masjid Kariah.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan Ahli Jawatankuasa Masjid untuk lebih berhati-hati, pada masa hadapan bagi mengelak eksploitasi sama.

“Semak terlebih dahulu program bakal dilaksanakan mana-mana pihak membabitkan institusi masjid supaya tidak disalahgunakan lagi,” katanya.

Terdahulu, SelangorKini diberitahu sumber bahawa pemandu van dimaklumkan pihak Jamal kononnya terdapat sesi penggambaran di SUK.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next