Selangorkini
SELANGOR

Jamal ‘jual mahal’ tawaran Noh Omar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 FEB : Pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak mengendahkan ‘tawaran’ Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar supaya dirinya kekal menyandang jawatan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar.

Walaupun menyambut baik tawaran itu, namun Jamal berkata, pengundurannya dibuat bagi membenarkan siasatan terhadapnya dijalankan secara telus, kononnya tanpa campur tangan politik individu tertentu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada bos saya (Noh Omar) kerana dapat menilai peranan saya dalam Umno.

“Saya masih sayangkan Umno dan pengunduran ini dibuat kerana tidak mahu apa yang saya lakukan selama ini terpalit dengan parti itu, lebih-lebih lagi siasatan dibuat polis membabitkan kes samun berkumpulan terbabit.

“Saya menyambut baik (maklum balas) Tan Sri Noh. Untuk tempoh ini saya berharap tangungjawab ahli Umno itu biarlah diteruskan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Noh mengesahkan status Jamal sebagai Pengerusi BN Sungai Besar kekal, selagi kedudukannya belum diputuskan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Pada 8 Februari lalu, Jamal menyerahkan surat peletakan jawatan kerana dikatakan tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan pusat hiburan, pada Disember tahun lalu.

-AA-


Pengarang :