Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Kaji semula Kementerian Wilayah, elak pertindihan kuasa & fungsi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 FEB: Fungsi dimainkan Kementerian Wilayah perlu dikaji semula bagi menilai relevennya kementerian itu sekiranya Kerajaan Persekutuan gagal memahami peranan sebenar kementerian itu.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Kee Kwong berkata, dasar dilaksanakan kementerian itu disifatkan gagal ekoran berlakunya pertindihan kuasa dengan jabatan lain dalam usaha melestarikan bandaraya Kuala Lumpur.

“Peranan Kementerian ini perlu dikaji semula selepas mengambil kira kepentingan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan menjadi kawasan tumpuan masyarakat dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan Persekutuan perlu proaktif melaksanakan dasar memberi manfaat jangka panjang kepada warga Kuala Lumpur dan bukannya memberikan cadangan langsung tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau diminta mengulas komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus membangunkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya dinamik dan maju.

KL-Kuala-Lumpur-SesakDalam perkembangan itu, Tan berkata, aspek kebersihan dan masalah lalu lintas di Kuala Lumpur perlu diberi tumpuan secara menyeluruh.

Usaha ke arah itu mampu dijayakan menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Menteri bertangunggjawab bagi mengenalpasti sebarang bentuk gerak kerja.

“Kualiti perkhidmatan kini berada pada tahap yang kurang baik ditambah lagi dengan masalah dan isu kebersihan di kawasan perumahan bandar memberikan imej buruk kepada Kuala Lumpur.

“Contohnya di kawasan Taman Melati dan Setapak, masalah tersebut terus membelengu masyarakat setempat lantas memerlukan penyelesaian menerusi gerak kerja bersistematik dan berkesan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :