Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri ikrar setia dengan janji, ketepatan kepada rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 6 FEB: Kerajaan Negeri berikrar terus setia memegang janji untuk memberikan perkhidmatan terbaik, sekali gus menjamin kemakmuran dan kesejahteraan berterusan untuk rakyat negeri termaju itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan yang dicapai kini perlu dikekalkan dengan sokongan semua segmen masyarakat demi menjayakan agenda membangun bangsa dan memakmur negeri.

“Tahun ini adalah tahun ayam yang melambangkan kesetiaan dan ketepatan. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan setia dengan janji kepada rakyat dan menyampaikan khidmat kepada rakyat mengikut ketepatan.

Sultan Tahun Baru Cina (2)“Kerajaan Negeri yakin semangat dan usaha ini akan terus menjamin kemakmuran negeri dan memacu pertumbuhan sosial ekonomi demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 peringkat negeri di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, semalam.

Katanya, keharmonian dalam kerencaman masyarakat dan budaya di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga suatu aset penting yang perlu dipertahankan selain usaha keras semua pihak.

Ketika menyentuh kemeriah majlis rumah terbuka yang dihadiri kira-kira 10,000 hadirin itu, Mohamed Azmin berkata, ia menjadi lebih bermakna apabila Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin julung kali berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu.

-NFN-


Pengarang :