Liga Super: PKNS FC benam Perak 3-0 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Liga Super: PKNS FC benam Perak 3-0

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 FEB: PKNS FC meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan kedua mengatasi Perak, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, di sini, petang tadi.

Gol The Red Ants dijaringkan penyerang import dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola pada minit ke-45 dan 47, manakala Mohd Safee Sali menambah satu lagi gol, enam minit sebelum perlawanan berakhir.


Kelincahan Lucas memberi kelebihan kepada PKNS FC setiap kali mereka melancarkan serangan dengan disertai Safee dan Patrick Ronaldinho Wleh.

Bagaimanpun, sebelum gol pertama tuan rumah terhasil, permainan antara kedua-dua pasukan boleh dikatakan seimbang dengan taktik serangan pantas serta bertahan berkesan.

PKNS FC hampir mendahului pada minit ke-26 menerusi Muhammad Alif Haikal yang mencuba di luar kotak penalti tetapi sepakannya terkena tiang sebelah kiri pintu gol Perak.

CP2A1806-800x533 Penyerang import Perak, Vladislav Mitkov Mirchev juga mendapat peluang di depan gol pada minit ke-29 tetapi tandukannya sipi melepasi pintu gol PKNS FC.

Tindakan D Kenny Pallraj menjatuhkan Safee (m44) di luar kotak penalti Perak, mengundang padah apabila dikenakan kad kuning dan PKNS FC beroleh tendangan percuma.

Lucas tidal melakukan kesilapan dan menceriakan The Red Ants dengan jaringan pertamanya untuk mendahului lawan, pada akhir separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, pasukan bimbingan E Elavarasan terus melancarkan serangan bagi memberi tekanan kepada Perak.

Percaturan itu nyata berhasil dengan Lucas (m47) melepasi halangan pertahanan The Bos Gaurus lalu menyepak kencang untuk gol kedua menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Hafizul Hakim.

CP2A1779-800x533 Skuad kendalian Karl Heinz Weigang mampu merapatkan jurang pada minit ke- 60 ketika beroleh sepakan penalti, namun penjaga gol PKNS FC, Mohd Zamri Selamat berjaya menghalang sepakan Vladislav melepasi jangkauannya.

Kebangkitan dirancang Perak terus melalui detik sukar dan PKNS FC menggunakan ruang secukupnya dalam mengatasinya.

Safee (m84) melakukan jaringan dengan satu sepakan leret untuk gol ketiga PKNS FC apabila  melepasi pertahanan lawan dengan kawalan bola kemas dan perlawanan berakhir dengan keputusan sama.

Dengan dua menang dan dua kalah, PKNS FC kini mengumpul enam mata serta menduduki tangga ketiga liga di belakang Pahang dan Perak yang berkongsi tujuh mata.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next