Selangorkini
NASIONAL

Madinah Ketua Audit Negara ganti Ambrin

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 FEB: Tan Sri Ambrin Buang bakal digantikan Tan Sri Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara berkuatkuasa 23 Februari ini, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.

Dalam kenyataannya, Ali berkata, tempoh perkhidmatan Ambrin berakhir pada 22 Februari dan pelantikan Madinah adalah selama dua tahun bermula 23 Februari (Khamis) ini.

Katanya, pelantikan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kerajaan merakamkan penghargaan tertinggi dan terima kasih kepada Tan Sri Ambrin Buang untuk perkhidmatan sejak dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada 23 Februari 2006.

“Terutamanya, usaha beliau dalam mengubah dan menyusun semula sistem pengauditan kerajaan dan mengukuhkan sistem pengurusan kewangan,” katanya.

Pada 2016, Madinah bersara sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan pernah memegang jawatan sama di Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi sebelum itu.

Selama memegang jawatan Ketua Audit Negara, Ambrin pernah menyelia beberapa kontroversi terbesar negara termasuk skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) melibatkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan suaminya.

Beliau juga dipertanggungjawab mengendalikan audit persekutuan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sepertimana diarahkan Najib.

Sehingga kini, laporan audit berkenaan masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

-nR-


Pengarang :