Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri selesai masalah peneroka miliki tanah

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 3 FEB: Kerajaan Negeri menyelesaikan hak pemilikan tanah kepada peneroka asal di daerah Kuala Langat dengan penyerahan Notis 5A, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu yang berlarutan sekian lama itu diselesaikan kerana Kerajaan Negeri memahami masalah dihadapi golongan berkenaan.

“Kerajaan Negeri bertanggungjawab membantu peneroka asal yang sekian lama meneroka tanah kerajaan dan ia program yang sedang giat berjalan ketika ini.

MB Kuala Langat (14)“Namun, kerana nilai hartanah di Selangor termasuk Kuala Langat yang semakin meningkat maka sebagai kerajaan peduli rakyat, kita mengkaji bantuan yang dapat diberikan supaya bayaran premium dapat dikurangkan.

“Kita mempunyai skim pemilikan tanah dengan bayaran RM1,000 supaya mereka dapat memilikinya dengan syarat tidak menjualnya,” katanya selepas majlis penyerahan Notis 5A kepada 37 peneroka asal di Dewan Harmoni, Kampung Sungai Lang Tengah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Negeri berharap peneroka tidak menjualnya supaya dapat dibangunkan demi masa depan keluarga.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka berhak berbuat begitu dan akan dikenakan cukai kerana jualan terbabit mengikut harga pasaran semasa.

“Isu penerokaan tanah kerajaan ini agak meluas dalam puluhan tahun tetapi malangnya tiada usaha bagi penyelesaiannya. Ia seperti peneroka rancangan revolusi hijau ini iaitu hanya diberikan Lesen Pemilikan Sementara (LPS) dan diminta membangunkan tanah.

“Namun, selepas 40 tahun dan memasuki generasi kedua, masih lagi tidak dapat memiliki tanah berkenaann, maka Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk membantu peneroka asal ini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :