BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Klinik 1 Malaysia tiada doktor, hanya beri panadol

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 28 FEB: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan usaha merealisasikan hasrat rakyat yang kurang berkemampuan menikmati rawatan secara percuma di pusat perubatan swasta supaya punca penyakit kronik dapat dikenalpasti lebih awal.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri menerima maklumbalas pelbagai pihak terutama di kawasan luar bandar yang berhadapan kesukaran mendapatkan rawatan kesihatan kerana tiada hospital berhampiran dengan kediaman.

Namun dengan mendaftar di bawah Skim Peduli Sihat, rakyat berpeluang menikmati rawatan kesihatan asas di klinik atau hopital swasta lebih cepat tanpa perlu bergantung kepada Klinik 1 Malaysia.

“Tak payah pergi Klinik 1 Malaysia sebab faktanya (Klinik 1 Malaysia) tiada doktor. Dia bagi panadol sahaja. Sakit jantung panadol, angin ahmar panadol, semput panadol, lelah panadol dan akhirnya kita mati kerana panadol.

“Tapi kalau anda ada kad Peduli Sihat, tidak perlu tunggu sampai sakit kronik, terus pergi klinik swasta berhampiran,” katanya.

Katanya, Skim Peduli Sihat merupakan antara inisiatif Peduli Rakyat yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM125 juta di dalam Belanjawan 2017.

Kumpulan Selgate mensasarkan pendaftaran Skim Peduli Sihat 50,000 orang pada suku tahun pertama 2017 namun sudah lebih 40,000 ahli berjaya didaftarkan dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan 24 Januari lalu.

=EZY=


Pengarang :