Selangorkini
SELANGOR

MBSA perkenal Flexi Parking ganti kupon

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan sistem Flexi Parking sebagai kaedah baru pembayaran tempat letak kenderaan menggunakan aplikasi telefon pintar yang lebih efisien dan sistematik.

MBSA dalam kenyataan berkata, kaedah itu dilaksanakan seiring hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State menjelang 2025.

Katanya, orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan internet menggunakan telefon pintar.

“Pengenalan sistem Flexi Parking akan memudahkan proses pembayaran pengguna tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan.

“Ia juga diperkenalkan bagi mengurangkan masalah aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna yang sering berkunjung ke kawasan pentadbiran MBSA,” kata kenyataan itu.

Aplikasi Flexi Parking boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store yang juga berfungsi secara dwi bahasa.

Lebih memudahkan, pengguna akan diberi makluman peringatan 10 minit lebih awal sebelum tamat tempoh letak kenderaan.

“Sistem ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan kertas, malahan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi masa kini iaitu telefon pintar.

“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan serta petugas,” katanya.

Orang awam boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657, 1658 untuk maklumat lanjut.

-AA-


Pengarang :