BERITA UTAMA NASIONAL

Naik harga rokok punca hasil cukai merosot?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Langkah Kerajaan menaikkan cukai eksais rokok sehingga 110 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini adalah faktor meningkatnya aktiviti penyeludupan dan rasuah di jabatan bertanggungjawab.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu akhirnya menyebabkan pendapatan kerajaan menerusi cukai rokok turut merosot dengan teruk seperti yang berlaku di Greece.

“Bila cukai rokok tinggi, harga rokok juga jadi mahal. Bila harga rokok mahal, wujud permintaan tinggi untuk seludup dan mendorong penyeludup membawa masuknya kerana jualan rokok seludup meningkat.

dr-rosli-ex-bank-negara“Akhirnya akan berlaku seperti Greece, negara itu naikkan cukai rokok tujuannya nak tambah pendapatan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, jualan rokok bercukai merosot dan kutipan cukai juga merosot tetapi kegiatan menyeludup pula tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

“Faktor penguatkuasaan undang-undang di Malaysia yang lemah dan rasuah berleluasa sama seperti Greece iaitu jika kegiatan rasuah tinggi, memang sukar untuk membendung kegiatan menyeludup hingga tak mustahil ada penyeludup dapat perlindungan pihak penguatkuasa sendiri atau mereka menyalurkan maklumat kepada penyeludup,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, ia terbukti apabila syarikat pengeluar rokok utama British American Tobacco (BAT) mengambil keputusan menutup kilangnya di Petaling Jaya tahun lalu ekoran jualan produknya mengalami kemerosotan teruk.

Katanya, BAT turut mendakwa 40 peratus pasaran rokok di Malaysia pada masa itu dikuasai penjualan rokok seludup dan dipercayai akan semakin meningkat.

Sebelum ini, langkah Kerajaan Greece menaikkan cukai rokok akhirnya menyumbang kepada masalah penyeludupan yang serius hingga menyebabkan negara itu kehilangan pendapatan daripada cukai rokok.

Dianggarkan antara 2008 dan 2013, pengambilan rokok seludup di Greece meningkat 400 peratus selepas Greece menaikkan cukai rokok bagi tujuan menambah pendapatan cukai menerusi cukai rokok.

-NFN-


Pengarang :