Pembeli PR1MA terpaksa bayar lebihan hampir RM32,000? | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Pembeli PR1MA terpaksa bayar lebihan hampir RM32,000?

OLEH MOHD AMMAR ATAN

Berikutan pengumuman PR1MA dalam Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) Pemuda Amanah Nasional memuji niat PR1MA dalam membantu orang ramai dalam memiliki rumah. Namun begitu, Pemuda Amanah merasakan bahawa usaha (skim) yang dijalankan akan menggalakkan rakyat memilik rumah secara tidak berhemah.

Berdasarkan analisa yang dijalankan, kami mendapati bahawa melalui skim ini, pembeli PR1MA terpaksa menerima kadar faedah yang lebih tinggi iaitu 4.75% berbanding dengan purata pasaran iaitu 4.45%.


Dengan andaian harga seunit rumah adalah RM400,000 dan kadar pinjaman 35 tahun, ansuran bulanan akan lebih tinggi sebanyak RM75. Dalam tempoh 35 tahun, pembeli akan membayar hampir RM32,000 secara lebihan.

Skim SPEF ini biarpun murni dari segi niatnya, secara tidak langsung akan menyumbang ke arah peningkatan hutang isi rumah. SPEF melayakkan pembeli PR1MA untuk meminjam jauh lebih banyak berbanding pinjaman konvensional.

Jika sebelum ini, jumlah pinjaman yang diberikan bawah sistem konvensional adalah rendah kerana telah mengambil kira “kesihatan” kewangan peminjam.

Ammar Atan (kanan) ketika sidang media di Wisma Amanah Negara. Turut serta ialah Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir dan Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Khairol Najib Hashim.Jadi, relevankah untuk amaun pinjaman ditingkatkan dengan banyak hanya untuk membeli seunit rumah?

Bukan itu sahaja, menerusi skim ini, debt service ratio (DSR) ditingkatkan dan ini akan menyebabkan peminjam menanggung lebih banyak hutang berbanding pendapatannya. DSR bawah SPEF adalah 70% berbanding hanya purata 60% bawah pinjaman konvensional.

Ini sememangnya membimbangkan kami di pihak Pemuda Amanah kerana langkah ini mendorong ke arah pembentukan “masyarakat penghutang”.
Pada ketika ini, kadar hutang isi rumah di Malaysia berbanding pendapatan boleh guna adalah sebanyak 140% dan merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Malah, lebih membimbangkan adalah, pembeli PR1MA boleh menggunakan Akaun 2 KWSP untuk membayar ansuran bulanan pinjaman rumah. Jika pembeli memilih kaedah ini, maka sumbangan bulanan 30% ke Akaun 2 akan digunakan untuk pembayaran semula.

Kesannya, pada ketika persaraan, si peminjam akan mendapat simpanan KWSP 30% lebih rendah daripada yang sepatutnya. Melalui skim ini, peminjam tidak dibenarkan mengakses akaun 2 KWSP selagi mana pembayaran semula pinjaman rumah tidak selesai.

Bukankah ini merisaukan memandangkan Laporan Tahunan KWSP 2015 sendiri mengatakan 68% ahli KWSP berumur 54 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP.

Sepatutnya, dengan andaian perbelanjaan bulanan sebanyak RM950, ahli KWSP perlu memiliki sekurang-kurangnya RM228,000 menjelang umur 55 tahun.

Pemuda Amanah cukup terkejut bagaimana Bank Negara Malaysia boleh meluluskan skim yang tidak berhemah ini, dalam pada masa yang sama BNM mengeluarkan pelbagai laporan yang menyebut kekhuatiran terhadap paras hutang isi rumah di Malaysia dan kadar wang persaraan persara Malaysia yang semakin mengecil.

Justeru, Pemuda AMANAH memahami akan niat PR1MA selaku badan berkanun bagi meningkatkan pemilikan rumah dikalangan rakyat, namun kami bertegas niat tidak menghalalkan cara, kerana tindakan ini sangat dibimbangi akan mejerumuskan masa depan rakyat ke kegawatan.

* MOHD AMMAR ATAN adalah Exco Pemuda AMANAH Nasional/ Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next