Selangorkini
SUKANKINI

Red Giants fokus atasi Kedah

SHAH ALAM 28 FEB: Pemain import Selangor, Juliano Mineiro enggan terlalu bergembira dengan dua jaringannya ketika membantu skuad Red Giants menewaskan Kelantan 2-0 pada perlawanan keenam Liga Super 2017 di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Sebaliknya pemain kelahiran Brazil tetapi memiliki kewarganegaraan Timor-Leste itu mahu segera mengalih fokus untuk aksi lebih penting berdepan pendahulu liga, Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini.

“Sudah tentu saya berasa cukup teruja dan gembira kerana dapat menjaringkan dua gol pada perlawanan Sabtu lalu. Tapi apa yang lebih penting ialah untuk membantu pasukan mencatat kemenangan berbanding jaringan peribadi.

“Cuma sekarang, kami tak perlu terlalu meraikan kejayaan menewaskan itu kerana kami kini perlu fokus untuk berdepan pula Kedah.

“Saya harap kami dapat terus mempamerkan aksi terbaik bertemu Kedah nanti dan cuba mendapatkan tiga mata penuh bagi menyamai jumlah mata yang dikutip Kedah ketika ini bagi memperbaiki kedudukan dalam liga,” kata Mineiro lapor fasselangor.com.

Dua gol dijaringkan Miniero,31, ketika aksi bertemu Kelantan, Sabtu lalu menjadikan jumlah keseluruhan tiga gol disumbangkan untuk Selangor setakat ini selepas menjaringkan satu gol ketika skuad Red Giants menewaskan Felda United 3-1 pada 17 Februari lalu.

“Kombinasi saya di barisan depan bersama Francis Forkey Doe, Victor Astafei, S Veenod dan juga Adam Nor Azlin nampak semakin baik.

“Cuma kami perlu sedikit demi sedikit mempertingkatkan lagi persembahan dan kombinasi di kalangan kami untuk menjadikan jentera depan Selangor lebih tajam pada perlawanan akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :