BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor tak perlu label Islam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 FEB: Selangor terus giat melaksanakan dasar dan polisi dianjurkan Islam tanpa perlu ‘label’ negeri Islam, kata Senator Dewan Negara, Prof Madya Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau berkata, dasar dan polisi Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan prinsip Maqasid Syariah dan pelaksanaan adalah lebih penting daripada sekadar label Islam.

“Terbaru, Kerajaan Negeri melancarkan Skim Peduli Sihat yang memperuntukkan RM500 kepada mereka berpendapatan RM3,000 ke bawah untuk mendapatkan rawatan di lebih 1,000 klinik swasta seluruh Selangor.

“Ini adalah salah satu contoh bagaimana Kerajaan Negeri melaksanakan sesuatu untuk manfaat seluruh masyarakat tanpa perlu menjual label Islam.

“Banyak lagi program yang kita jayakan mengambil kira lima prinsip utama Maqasid Syariah,” katanya sejurus selesai Wacana Ilmu bertajuk Dasar dan Pentadbiran Awam daripada Perspektif Maqasid Syariah, di Institut Darul Ehsan (IDE), di sini, hari ini.

Majlis wacana itu menampilkan sepasang penceramah terkemuka dunia iaitu Pengasas dan Ahli Lembaga Pengarah Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam yang juga Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, Dr Jasser Auda dan isteri, Dr Basma Abdelgafar seorang Penganalisis Polisi.

Dianjurkan IDE, majlis antara lain dihadiri bekas timbalan menteri yang kini ahli KEADILAN, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud.

-NFN-


Pengarang :