NASIONAL

Usul heret AG ke Parlimen isu RM2.6 bilion

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 FEB: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali digesa menjelaskan kepada Parlimen mengenai kenyataannya bahawa ‘tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Najib Razak’ berhubung wang RM2.6 bilion.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, surat usul mengenai gesaan itu sudah difailkannya dan diterima Pejabat Yang Di Pertua Parlimen pada 21 Februari lalu.

Katanya, usul berkenaan selaras Perkara 27 (3), Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan Parlimen membahaskan perkara berkepentingan awam dan harus disegerakan.

“Sebelum ini, beliau membuat kenyataan ‘tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Najib Razak’ dan mengisytiharkan dana itu datang dari keluarga diraja Saudi.

“Namun begitu, dapatan mahkamah luar negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland mengesahkan wang berkenaan sebenarnya adalah daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jadi, kita menuntut Peguam Negara datang ke Parlimen dan jelaskan kepada kita fakta bercanggah ini dan tunjukkan bahawa keputusan mahkamah Singapura itu salah,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Pada Januari 2016, Apandi mengesahkan dana dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) merupakan sumbangan peribadi keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau juga berkata, tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bantuan bersama dalam perkara jenayah kepada negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan memandangkan tidak terzahir kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana berkenaan.

Pada Oktober 2016, Falcon Bank menjadi bank kedua ditutup pengawal selia Singapura berhubung 1MDB, selepas BSI yang ditutup pada Mei tahun sama.

Sehingga kini, seramai empat individu didakwa di Singapura berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah dalam dana syarikat Malaysia yang disiasat secara global dan meluas itu.

=EZY=


Pengarang :