Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah: Tak munasabah kenaikan harga bahan api

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 FEB: Kenaikan harga petrol dan diesel bagi bulan ini adalah tidak munasabah sama sekali, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Presiden KEADILAN berkata, rakyat tidak seharusnya dibebankan kenaikan harga bahan bakar itu sedangkan tiada faktor yang menjurus kepada sebarang kenaikan.

Katanya, perubahan harga minyak mentah dunia dan perubahan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) tidak menunjukkan perubahan ketara.

“Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sepatutnya segera tampil memberikan penjelasan mengapa kenaikan harga petrol dan diesel ini berlaku.

“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbang semula subsidi minyak serta mengurangkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) demi meringankan beban rakyat ketika ekonomi suram,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azizah berkata, semakan sehingga jam 4 petang semalam menunjukkan purata harga minyak mentah Brent sepanjang Januari 2017 mencatatkan penurunan bulanan sebanyak 2.46 peratus.

Katanya, semakan di laman rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga jam 5 petang semalam pula menunjukkan nilai RM berbanding USD mengalami purata perubahan sebanyak negatif 1.4 peratus.

“Pada 1 Januari lalu, harga runcit petrol RON95 dan diesel naik 20 sen manakala petrol RON97 naik 15 sen.

“Berkuat kuasa 1 Februari 2017 harga runcit petrol RON95 dan RON97 naik lagi 20 sen sementara harga runcit diesel meningkat 10 sen.

“Ini bermakna sepanjang bulan pertama dan kedua tahun ini rakyat Malaysia dibebankan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 40 sen, diesel sebanyak 30 sen dan RON97 sebanyak 35 sen,” katanya.

=EZY=


Pengarang :