Selangorkini
SELANGOR

100 karya seni dipamer di Segaris Art Center

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Buat julung kalinya Selangor Youth Community (SAY) bersama UiTM Holdings Sdn Bhd berkolaborasi menempatkan lebih 100 hasil karya seni 70 pelukis dari 13 buah institusi di Segaris Art Center bermula 7 hingga 19 Mac ini.

Pameran yang dinamakan School of Thought (SOT) itu menyediakan platform bagi graduan dari seni lukis mempamerkan hasil karya mereka yang akan membolehkan hasil dipertengahkan ke masyarakat umum.

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertempat di White Box Publika Solaris Dutamans, Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Pengurus Kanan SAY, Zaiferez Hadzere Zainal berkata, SOT merupakan satu platform buat para graduan terpilih mempamerkan karya seni terbaik mereka.

“Terdapat 70 pelukis dari 13 buah institut pengajian dari seluruh Malaysia antaranya dari Sunway University, UiTM, UNISEL, UMK, UMS, UNIMAS, USM, ASWARA, Dasein Academy of Art, MIA, MMU, The One Academy dan Kolej Saito.

“Program ini juga sebagai inisiatif memupuk dan meningkatkan penyertaan artis muda melalui dalam bidang seni disamping menghargai karya-karya seni dari anak muda khususnya,” katanya.

Katanya, graduan pelukis juga diberi peluang mempamerkan karya di Segaris Art Center supaya masyarakat dapat menilai bakat terpendam serta keunikan mereka di persebarkan.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar program ini dapat memberikan impak yang besar kepada pembangunan seni di negeri ini dan juga tanah air.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, kita akan merangka untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan,” katanya.

Difahamkan, Segaris Art CenterP adalah jenama yang dibangunkan oleh UiTM Art and Design Sdn Bhd yang dimiliki oleh UiTM Holdings Sdn Bhd.

Hadir sama dalam majlis perasmian Orang Besar Istana selaku penasihat SAY, YM Syed Haizam Jamalullail, Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Ezhar Moslim, Ketua Pegawai Kewangan UiTM Holdings Sdn. Bhd., Zakiah Mastor dan Pengarah UiTM Art & Design Sdn Bhd, Professor Madya Ramlan Abdullah.

=EZY=


Pengarang :