SELANGOR

80 pengadu terima pendahuluan nafkah SBSK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK) Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) meluluskan 80 penerima pendahuluan nafkah membabitkan perbelanjaan RM307,530.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumber kewangan pembayaran pendahuluan nafkah tersebut adalah daripada dana Akuan Amanah SBSK yang disumbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Pembayaran pendahuluan nafkah ini bukanlah suatu bantuan mutlak tetapi ia merupakan suatu pendahuluan nafkah dikutip semula oleh SBSK daripada pihak bekas suami atau bapa ingkar melaksanakan perintah nafkah selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah selesai.

“Pembayaran nafkah SBSK ini juga bukanlah untuk¬†mengambil tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab sebaliknya membantu meringankan beban ibu dan anak-anak,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pembahayaran pendahuluan itu juga bertujuan membantu memastikan perintah Mahkamah Syariah dikuatkuasakan terhadap mereka bertanggungjawab.

Difahamkan, seramai 903 pengadu terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan bekas isteri mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan SBSK.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada statistik kes atau aduan yang diterima di SBSK bermula 2009 sehingga Disember 2016.

-nR-


Pengarang :