Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Agihan BR1M susahkan rakyat

ccsb-ads

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengagihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) secara ‘manual’ (baucar) menyusahkan rakyat terutama golongan uzur, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula mekanisme dalam pemberian kepada penerima BR1M.

Beliau turut mempersoalkan adakah pemberian secara ‘manual’ itu sengaja dilakukan kerana sudah dekat dengan pilihan raya.

amk“Jika tindakan ini benar, ia satu tragedi kerakusan politik Umno-BN yang sanggup memanipulasi rakyat miskin bagi meraih keuntungan politik mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, di laman sosial menjadi tular apabila wanita warga emas yang tinggal di Setiawan, Perak diminta untuk mengambil baucar tersebut di Ipoh yang jaraknya kira-kira 80 kilometer dari tempat tinggalnya.

Warga emas itu terpaksa memutuskan untuk tidak mengambil baucar berkenaan kerana jarak perjalanan yang agak jauh.

Akmal berkata, BN perlu berbalik semula kepada tujuan utama mereka dalam menghulurkan BR1M kepada rakyat.

“Inisiatif ini adalah untuk meringankan beban sara hidup mereka, namun jika berlaku kesulitan untuk mendapatkan bantuan berkenaan, ia kembali menyusahkan rakyat.

“Kerajaan tidak perlu mendera rakyat dengan meminta mereka beratur panjang dan bersesak demi mendapatkan baucar itu.

“Proses ini terbelakang dan menyusahkan terutama kepada penerima yang uzur,” katanya.

-NFN-


Pengarang :