Analisis: Bursa Malaysia dijangka kekal positif minggu depan | Selangorkini


Analisis: Bursa Malaysia dijangka kekal positif minggu depan

KUALA LUMPUR 18 MAC: Bursa Malaysia dijangka berada dalam aliran meningkat minggu depan, disokong oleh faktor-faktor termasuk bayangan Rizab Persekutuan AS (Fed) yang kurang cenderung menaikkan lagi kadar faedah, peningkatan sedikit sentimen pengambilan risiko global, harga komoditi kukuh dan pengukuhan ringgit, kata seorang penganalisis.

Beliau berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak di atas paras 1,730.

“FBMKLCI dijangka mengekalkan aliran meningkatnya ke paras tinggi apabila kenaikan ekuiti mereda sedikit daripada hasil pilihan raya Belanda dan tidak terkesan dengan kemungkinan kenaikan kadar faedah Fed,” katanya.


Sementara itu dalam nada yang sama Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, bank pelaburan tersebut percaya akan terdapat kenaikan lagi minggu depan apabila pelabur dapat menerima keputusan dasar monetari yang diambil Bank of Japan, People’s Bank of China dan Fed.

“Meskipun People’s Bank of China menaikkan kadar faedah jangka pendeknya sebanyak 10 mata asas, Bank of Japan mengukuhkan dasar monetari dan mengekalkan pandangan positifnya terhadap ekonomi, membayangkan perdagangan serantau kukuh dalam waktu terdekat ini.

“Di dalam negara, pasaran tempatan seharusnya mendapat pemangkin positif daripada unjuran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang e-dagang Malaysia akan melepasi kadar pertumbuhan tahunan gabungan 11 peratus menjelang 2020, dipacu perusahaan kecil dan sederhana,” katanya lapor BERNAMA.

Industri e-dagang negara dijangka bernilai RM114 bilion menjelang 2020 atau 6.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada RM68 bilion, merupakan 5.9 peratus daripada KDNK pada 2015.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI naik 27.62 mata kepada 1,745.20 daripada 1,717.58 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, indeks tersebut kebanyakannya tinggi, dipengaruhi kebanyakannya oleh keputusan Fed untuk menaikkan kadar faedahnya bagi kali kedua sejak Disember tahun lepas.

Pada Jumaat, jumlah dagangan di bursa tempatan mencecah paras tertinggi, dipengaruhi oleh peningkatan ekonomi AS yang meningkatkan keyakinan pelabur untuk membeli lebih banyak aset di negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

Dilaporkan sejak Januari tahun ini, lebih RM2 bilion dana mengalir masuk ke dalam negara.

Indeks FBM Emas meningkat 205.72 mata kepada 12,341.34, Indeks FBMT 100 naik 197.93 mata kepada 11,996.30 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 167.55 mata kepada 12,727.23.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 339.92 mata kepada 15,739.99, Indeks Perusahaan naik 20.57 mata kepada 3,263.81, manakala Indeks Perladangan menokok 80.42 mata kepada 8,161.61.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19.39 bilion unit bernilai RM17.22 bilion daripada 16.23 bilion unit bernilai RM13.66 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 15.10 bilion saham bernilai RM16.53 bilion berbanding 10.3 bilion saham bernilai RM13.04 bilion.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.22 bilion unit bernilai RM148.94 juta daripada 1.25 bilion unit bernilai RM155.47 juta.

Pasaran ACE meningkat kepada 3 bilion bernilai RM523.39 juta daripada 2.67 bilion saham bernilai RM459.75 juta.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Mohd Ezli Mashut


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next