Selangorkini
SELANGOR

Buat sambungan haram, ladang ternak ayam diserbu

OLEH HAFIZAN TAIB

JERAM, 15 MAC: Sebuah ladang ternakan ayam yang melakukan sambungan air secara haram menerima padah apabila premis terbabit diserbu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan air Negara (SPAN), di sini, hari ini.

Operasi bersepadu itu dilakukan selepas mendapat maklumat dan siasatan berkenannya yang mempercayai pengurusan ladang terbabit melakukan kerja melanggari peraturan, lebih setahun lalu.

Ketua Komunikaksi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pintasan tidak sah disyaki dilakukan pengurusan ladang terbabit menyebabkan pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM129,000 atau 56,000 meter padu air.

“Dalam tempoh dinyatakan itu, Air Selangor hanya mengenakan caj RM36 sebulan.

“Mereka mempunyai paip air sah tetapi membuat sambungan melalui paip pintas daripada paip utama Air Selangor ke ladang ternakan dengan semua air digunakan dimasukkan ke dalam tangki simpanan untuk cucian dan lainnya,” katanya kepada media selepas operasi di kawasan itu.

WhatsApp Image 2017-03-15 at 3.27.42 PMSementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Bahagian Pengurusan Korporat SPAN, Hisyam Samad berkata, penyambungan haram ke ladang itu jelas berlaku berdasarkan operasi penguatkuasaan dan hasil siasatan dijalankan.

Katanya, di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (akta 655), tiada sesiapa selain pemegang lesen boleh membuat sambungan ke sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Jika didapati bersalah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) akta sama,” katanya.

Siasatan SPAN mendapati, premis terbabit mempunyai akaun bekalan air sah berdaftar dengan Air Selangor atas satu nama individu dan digunakan hanya untuk kegunaan rumah pekerja.

Manakala, sambungan bekalan air secara tidak sah digunakan untuk menampung kegunaan operasi harian ladang berkenaan.

-AA-


Pengarang :