SELANGOR

Eco Free Market: Ambil ikut keperluan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 MAC: Warga Shah Alam berpeluang beramal menerusi Program ECO Free Market yang bakal berlangsung sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, pada 12 Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program kebajikan itu memberi peluang kepada orang ramai mengedarkan barangan keperluan secara percuma kepada golongan memerlukan.

Katanya, ia secara tidak langsung memperkenalkan konsep Free Market selain memupuk semangat dan sifat suka bersedekah dalam kalangan masyarakat.

“Selaras dengan Konsep Free Market, penyumbang perlu membawa barang sumbangan ke tapak program dan menawarkan barangan atau perkhidmatan secara percuma kepada pengunjung.

#FREEMARKET“Sekiranya pengunjung berminat, mereka hanya perlu meminta izin untuk mengambil barang berkenaan,” katanya.

Bertempat di Dataran Kemerdekaan, program dijadual bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Pada masa sama, Shahrin mengingatkan pengunjung mengambil barang mengikut keperluan sahaja.

“Mereka juga dikehendaki membawa ‘shopping bag’ sendiri kerana beg plastik tidak akan dibekalkan dalam Free Market.

“Antara barang disumbangkan orang ramai termasuk pakaian, aksesori, dekorasi hiasan rumah, permainan kanak-kanak, alat elektronik, alat tulis dan bahan bacaan,” katanya.

-nR-


Pengarang :