Gempa Bumi: Penduduk Lahad Datu dinasihat berjaga-jaga | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Gempa Bumi: Penduduk Lahad Datu dinasihat berjaga-jaga

KOTA KINABALU 29 MAC: Dua gempa bumi lemah di Lahad Datu dalam tempoh empat hari termasuk yang terbaru pagi tadi, dianggap baik bagi pelepasan tenaga berterusan sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku gempa bumi yang kuat.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata walaupun sukar menentukan ia petanda gempa yang lebih besar tetapi kemungkinan itu memang ada, lapor BH ONLINE.

“Penduduk khususnya di sekitar kawasan Lahad Datu dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga. Kejadian dua gempa bumi lemah di Lahad Datu dalam tempoh empat hari ini, baik bagi mengurangkan kemungkinan berlaku gempa yang kuat.


“Pelepasan tenaga seismos yang tersimpan secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan secara berterusan melalui gempa bumi kecil atau lemah ini mampu mengurangkan kemungkinan untuk tenaga besar terkumpul.

“Jika ini (gempa bumi) berterusan, ia dapat mengelak berlaku pelepasan tenaga lebih besar pada masa depan.

Gempa bumi dikesan di Lahad Datu

“Lahad Datu kerap dilanda gempa bumi bermagnitud lemah, sekali gus dua gempa lemah di kawasan itu pada 26 Mac dan pagi tadi (semalam) adalah dijangkakan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Pada jam 1.10 pagi, 26 Mac lalu, satu gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala Richter berlaku di Ranau, diikuti jam 5.30 petang pada hari sama di Lahad Datu bermagnitud 4.2 manakala yang terbaru, gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 melanda Lahad Datu, jam 6.26 pagi tadi.

Felix yang juga Pensyarah Geologi UMS, berkata sebenarnya hampir setiap bulan berlaku gempa bumi lemah di Lahad Datu tahun lalu tetapi ia terlalu kecil untuk dirasai kecuali alat perakam gempa bumi.

“Ini bermakna gempa bumi bermagnitud lemah akan terus berlaku di Lahad Datu pada masa akan datang,” katanya.

Gempa bumi besar yang terakhir di Lahad Datu berlaku pada tahun 1976 bermagnitud 5.8 yang menyebabkan banyak kerosakan.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next