Glow Run menyelusuri Hulu Selangor | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

Glow Run menyelusuri Hulu Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA KUBU BHARU, 26 MAC: Kuala Kubu Bharu (KKB) Glow Run berjaya menarik penyertaan 1,500 peserta pada penganjuran kedua 2017.

Bermula dari perkarangan Majlis Daerah Hulu Selangor, ia adalah acara pertama sempena Tahun Melawat Hulu Selangor 2017.


Menawarkan hadiah keseluruhan RM3,000 yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu lelaki, wanita dan veteran sejauh lima kilometer (km) serta 10km.

Upacara pelepasan disempurnakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari sambil disaksikan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong dengan 1,000 peserta terawal menamatkan larian menerima pingat selain sijil penyertaan.

Amirudin berkata, beliau gembira melihat perkembangan aktiviti larian yang dianjurkan pelbagai pihak dengan mengambil pendekatan berbeza bagi menarik penyertaan peserta.

unknown (1)“Sejak tahun lalu, kita menggalakkan aktiviti larian. Tahun ini, saya lihat lebih banyak pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah menganjurkan larian.

“Ini satu cara yang baik bagi menggalakkan cara hidup sihat dalam pelbagai kaedah. Ada colour run juga glow run dianjurkan waktu pagi dan petang yang boleh diperbanyakkan pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, Kerajaan Selangor bakal menganjurkan aktiviti larian mega yang dinamakan ‘Larian Menjunjung Kasih’ pada Disember ini sempena ulang tahun keputeraan DYMM Sultan Selangor dan ia dalam perancangan kalendar larian negeri.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Noraini Roslan berkata, pihaknya bercadang untuk memperkenalkan kategori baru pada penganjuran tahun hadapan.

Cadangan itu dibuat selepas melihat sambutan menggalakkan yang diberikan peserta selain membuka peluang untuk orang ramai mengenali Hulu Selangor dengan lebih dekat.

“Sasaran kita tahun hadapan untuk memperkenalkan kategori keluarga bagi larian sejauh tiga km.

“Sasaran kita pada tahun ini, seramai 1,500 peserta tercapai berbanding penganjuran pertama pada 2016 dengan penyertaan 450 peserta,” katanya.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next