Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga gula naik 11 sen

SHAH ALAM, 2 MAC: Harga gula dilaporkan meningkat sehingga 11 sen sekilogram, berkuatkuasa semalam walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.

Perkara terbabit disahkan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng, lapor portal Malaysiakini.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui aplikasi Whatsapp.

“Saya menerimanya kira-kira jam 3 petang melalui WhatsApp. Tiada surat rasmi,” katanya.

Chee Meng turut menyifatkan kenaikan itu sebagai sederhana kerana kali terakhir harga barangan itu meningkat sebanyak RM0.20 sekilogram.

Ekoran kenaikan itu, sekilogram gula kini berharga RM2.95, meningkat empat peratus sejak pelarasan harga terakhir, pada 2013.

Sementara itu, menurut laporan Oriental Daily, kenaikan terbabit berpunca daripada peningkatan harga gula di pasaran antarabangsa, ditambah penyusutan nilai ringgit.

Adun Bahau, Chew Seh Yong mendakwa, beliau menerima rungutan daripada orang ramai sejak awal pagi semalam susulan kenaikan harga gula.

“Setelah mendapat penjelasan daripada pihak berkaitan, akhirnya memang disahkan kerajaan bersetuju dengan kenaikan 11 sen sekilogram ini.

“Beberapa peniaga sudah menjual dengan harga terbaru ini, manakala ada pekedai runcit hanya akan menaikkan harga selepas pengumuman dibuat kerajaan,” katanya kepada akhbar berkenaan.

-AA-


Pengarang :