Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga gula patut dikurangkan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat harga runcit gula di negara ini sepatutnya dikurangkan dan tidak bertambah berdasarkan kepada pasaran global harga gula mentah.

Katanya, sebelum 2015, dua pengeluar gula tunggal Malaysia membeli gula mentah melalui kontrak kerajaan jangka panjang (LTC) untuk mengimport bekalan gula mentah.

“Bagi 2009-2011, harga gula mentah yang ditetapkan adalah US $17.50 100lbs, manakala bagi 2012-2014, harga bagi satu 100lbs adalah US $26.00.

tony pua“Sistem pembelian gula mentah LTC kemudiannya dimansuhkan dan pengeluar membeli bekalan gula mentah mereka secara langsung berdasarkan pasaran global harga gula mentah,” katanya.

Beliau dalam sidang media di Lobi Parlimen berkata, antara Januari 2012 hingga Disember 2014, harga bekalan gula mentah pengeluar adalah US $26 setiap 100lbs.

“Mereka boleh menjual gula pada RM2.84 per kilogram (kg) dan tidak mempunyai masalah untuk mendapat keuntungan.

“Persoalan yang perlu ditanya ialah pasaran global harga gula mentah adalah lebih kurang US $ 18.16 per 100lbs, mengapa kerajaan BN melihat ia sesuai untuk meningkatkan lagi harga gula runcit kepada RM2.95 setiap kg?

“Malah, selepas mengambil kira perbezaan dalam kadar pertukaran sepanjang tempoh masa, harga gula sepatutnya dikurangkan dan tidak bertambah,” katanya.

Pua turut mempersoalkan rasionalnya kerajaan menaikkan harga gula kerana harga gula mentah di pasaran dunia mengalami penurunan sejak dua tahun lalu sehingga menambah penderitaan rakyat.

“Kami menggesa kerajaan untuk bukan sahaja menarik balik kenaikan harga baru-baru ini iaitu 11 sen untuk harga runcit gula sebaliknya menurunkan lagi harga siling dari RM2.84 setiap kg untuk mencerminkan harga global yang jauh lebih rendah bagi gula mentah, lebih dua tahun lalu.

“Ini perlu dilakukan dengan segera tanpa sebarang pampasan atau subsidi yang dibayar kepada pengeluar,” katanya.

-NFN-


Pengarang :