Iktiraf kesaksamaan, Wanita Selangor terus diberdaya | Selangorkini


Iktiraf kesaksamaan, Wanita Selangor terus diberdaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MAC : Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang pembangunan sosioekonomi dan modal insan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penglibatan golongan itu tidak wajar dinafikan seiring peranan dan sumbangan mereka dalam memacu pertubuhan ekonomi negeri.


“Hak dan kesaksamaan wanita tidak wajar dinafikan kerana mereka mempunyai potensi besar menjadi agen perubahan dan bersama-sama memainkan peranan membangunkan negeri Selangor.

“Di peringkat pentadbiran sendiri, Kerajaan Negeri sudah melakukan perubahan termasuklah menyambut baik penyertaan wanita untuk menerajui kepimpinan negeri.

“Kita sudah ada pegawai daerah, Yang Dipertua dan beberapa Ketua Jabatan serta wakil syarikat Kerajaan Negeri terdiri daripada golongan wanita,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran negeri juga komited mendukung penglibatan Ahli Dewan Negeri (ADN) di Dewan Negeri dalam menyuarakan dasar pembangunan dan kebajikan di negeri ini.

“Ini sekali lagi menunjukkan komitmen kita bahawa wanita memang ada peranan untuk membangunkan negeri dan mengemukakan dasar-dasar untuk kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Larian Malaysia Women Marathon 2017 di Stadium Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, pembangunan wanita kekal inklusif dan holistik dalam mengharungi cabaran mendatang dengan memperkaya nilai kemanusiaan serta mencipta persekitaran kehidupan berdaya saing.

Ia termasuklah komitmen menjayakan inisiatif dan dasar baru dalam Belanjawan 2017 yang mengangkat martabat dan institusi wanita menerusi penubuhan Institut Wanita Berdaya dengan peruntukan RM1 juta.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next