Jalin kerjasama China – India, tingkat promosi pelancongan Selangor | Selangorkini


Jalin kerjasama China – India, tingkat promosi pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MAC : Tourism Selangor giat melaksanakan pelan kerjasama rentas negara antara China dan India sebagai inisiatif mempromosikan produk pelancongan negeri.

Pengarah Urusan Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, ia turut melibatkan penglibatan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia dan Malindo Air.


“Perancangannya kita akan mejemput wakil-wakil media, organisasi pelancongan, agensi pelancongan dari China dan India untuk datang ke Selangor dan merasai sendiri percutian pelancongan di Selangor.

“Komitmen ini turut mendapat kerjasama syarikat penerbangan Malindo Air dan Air Asia yang akan membawa mereka ke Selangor bagi tempoh perancangan sepanjang 2017 ini.

“Usaha ini diharap dapat diterjemahkan mereka kepada kalangan warga China dan India terhadap keindahan dan keunikkan destinasi pelancongan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini pada program Malaysia Women Marathon (MWM) di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

Ini bukan pertama kalinya Tourism Selangor menjalankan kerjasama serantau bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara melancong ke Selangor.

Terdahulu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Tourism Selangor dan Syarikat Penerbangan, Fire Fly turut dijalankan bagi menarik kedatangan pelancong dari Singapura.

Persefahaman itu turut menyaksikan, imej pelancongan negeri dipaparkan di beberapa unit kapal terbang Fire Fly menghubungkan destinasi Lapangan Terbang Subang dan Singapura.

Tidak terhenti setakat itu, Tourism Selangor mewujudkan inisiatif penganjuran program Klang Art Festival yang bakal berlangsung September 2017 dengan mengetengahkan produk berkonsepkan warisan, kesenian dan budaya.

Mengulas lanjut, Noorul Ashikin optimis inisiatif berterusan itu mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari dalam dan luar dengan sasaran 7.4 juta bagi 2017.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next