NASIONAL

Janji PRU-13 tak ditunai, Najib dah tabur janji baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 MAC: Rakyat diingatkan supaya tidak mudah termakan janji pemimpin munafik seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini ekoran sudah banyak bukti menunjukkan beliau bukanlah seorang yang jujur, amanah dan menepati janji.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata Najib sebelum ini gagal menunaikan janji menangani kos sara hidup rakyat yang merupakan perkara utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 lalu.

“Niat Perdana Menteri turun padang dan tabur janji adalah untuk cuba tenggelamkan persepsi umum terhadap pentadbiran beliau yang dilihat semakin lemah dan dipenuhi pelbagai masalah, termasuk isu rasuah dan penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mutakhir kita lihat beliau ke Kelantan menabur janji untuk cuba meraih sokongan rakyat di sana tetapi bila kita lihat kembali manifesto BN pada PRU-13, dalam hal pertama pun iaitu menangani kos sara hidup, kita saksikan kegagalan beliau,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

NAJIBJelasnya, sepanjang empat tahun selepas PRU-13 berlalu, tiada sebarang usaha atau tindakan konkrit diambil Najib menangani kos sara hidup rakyat sekaligus membuktikan beliau sememangnya tidak pernah berhasrat menunaikan janji.

Katanya, sebaliknya kos sara hidup rakyat terus meningkat disebabkan beberapa keputusan pentadbiran Najib yang tidak mengambil kira tekanan hidup yang dihadapi rakyat.

Antaranya, keputusan pentadbiran Najib yang beberapa kali dikesan menaikan harga bahan mentah dengan tidak selaras dengan harga pasaran minyak antarabangsa yang sepatutnya berada di paras rendah.

“Sebagai contoh, harga RON95 pada Mei 2013 ialah RM1.90 seliter tetapi hari ini sudah mencecah RM2.30 seliter, iaitu peningkatan 21 peratus.

“Harga gula pula ialah RM2.50 sekilogram pada 2013 dan RM2.95 sekilogram hari ini, iaitu peningkatan 18 peratus dan ini belum lagi kita sebut tentang harga barang keperluan asas seperti minyak masak dan sayur-sayuran.

“Jika dalam hal harga barang ini yang merupakan janji pertama dalam manifestro PRU-13 BN, pun Putrajaya gagal kawal, maka umum patut sedar bahawa Perdana Menteri hanya menabur janji yang bakal dicapati lagi,” katanya lagi.


Pengarang :