Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Jimat subsidi minyak masak dan gula RM20 bilion jika hapus GST

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Persekutuan boleh menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia memperoleh lebih RM20 bilion penjimatan daripada rasionalisasi subsidi minyak masak serta gula.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penjimatan daripada pengurangan subsidi itu mengimbangi kerugian dalam pendapatan daripada syarikat petroleum negara, Petronas.

Katanya, sebelum ini, Petronas digunakan untuk menyalurkan purata pendapatan RM30 hingga RM35 bilion kepada kerajaan.

Lim-Kit-Siang“Dalam laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris 10 tahun lalu, jika kerajaan melaksanakan tender terbuka dan kerajaan bersih, kita boleh jimat RM27 bilion setiap tahun. Sekarang, jika kita boleh buat begitu, kita boleh hapuskan GST juga.

“Kita juga boleh beri BR1M dengan cara ini,” katanya ketika mengulas jawapan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani terhadap soalannya di Dewan Rakyat, semalam.

Guan Eng berkata, kerajaan sepatutnya mengamalkan tender terbuka untuk semua projek dan memastikan ‘kerajaan yang bersih’.

Terdahulu, Johari berkata, GST dan pemotongan subsidi dilaksanakan untuk mencegah defisit dalam bajet kerajaan bagi tempoh jangka panjang.

Katanya, pelan rasionalisasi subsidi membantu kerajaan apabila pendapatan daripada minyak mentah jatuh dari RM66 bilion pada 2014 kepada RM30 bilion, tahun lalu.

-NFN-


Pengarang :