Selangorkini
SELANGOR

JKR diminta beri kerjasama lulus permit ganti paip

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 2 MAC: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor disaran memberi kerjasama terhadap pemberian kelulusan permit bagi pelaksanaan projek penggantian paip di Jalan Meru, di sini.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), R Rajiv berkata, agensi terbabit perlu bertindak segera bagi membolehkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjalankan projek berkenaan.

Katanya, projek penggantian paip usang di laluan utama Jalan Meru sepanjang lapan kilometer adalah salah satu daripada tiga projek yang akan dilaksanakan Air Selangor.

“Lokasi Jalan Meru ini adalah ‘hot sport’ paling banyak kes dengan 21 kes paip pecah dan 370 paip bocor dalam setahun, maka banyak kerja penggantian perlu dijalankan, itu objektif kita.

“Kita harap JKR tidak menangguhkan lagi pemberian permit kepada Air Selangor supaya projek ini dapat dijalankan segera,” katanya kepada media.

IMG_20170302_113754_164Beliau berkata, masalah paip pecah dan bocor di Jalan Meru membabitkan laluan utama dan sekiranya berlaku, ia akan menimbulkan masalah bekalan air serta lalu lintas.

Difahamkan, Air Selangor sudah memohon kepada JKR negeri bagi kelulusan permit itu sejak tiga bulan lalu.

JPK-SAS diketuai Pengerusi, Ng Sze Han, hari ini mengadakan lawatan bagi meninjau projek penggantian paip di Taman Eng Ann, di sini serta mendergar taklimat projek daripada Air Selangor.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM363 juta bagi membantu Air Selangor menjayakan 84 projek penggantian paip usang di seluruh Selangor.

-AA-


Pengarang :