Selangorkini
NASIONAL

Kadar remaja & wanita jadi mangsa jenayah siber menakutkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 MAC: Nisbah 1:20 remaja perempuan dan wanita pernah menjadi mangsa jenayah siber menunjukkan negara sedang berhadapan krisis moral menakutkan.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga disarankan supaya mengambil berat perkara itu dengan segera.

Katanya, kegagalan membendung masalah ini boleh memusnahkan masa depan golongan wanita dan institusi kekeluargaan yang dibina.

“Satu tindakan yang lebih berat dan tegas mesti dikenakan kepada pesalah yang jelas menganiaya mangsa.

“Pihak berautoriti seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu lebih giat memantau aktiviti tidak sihat ini dan mengheret pesalah ke muka pengadilan.

“Laman-laman web yang berkaitan perlu disekat untuk mengelakkan pengguna internet melayarinya,” katanya dalam kenyataan.

Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut menggesa ibu bapa supaya tegas dengan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

“Kembalikan kuasa ibu bapa dengan mengawal sepenuhnya telefon pintar anak-anak untuk mengelakkan perkara yang sama berpotensi berlaku kepada ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berpendapat pihak sekolah, Kementerian Pendidikan perlu mengambil serius perkara terbabit dengan melaksanakan kempen kesedaran dan tindakan pencegahan.

Katanya, ia bagi mengelakkan risiko itu dari merencatkan matlamat pendidikan negara yang mahu dicapai.

“Saya kecewa dan sedih membaca laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan ramai remaja perempuan dan wanita dalam negara ini berkongsi gambar lucah sendiri samada dengan lelaki yang dikenali atau tidak.

“Pihak kami sendiri akan menyusun beberapa tindakan yang sesuai diambil untuk membantu memulihkan keadaan ini daripada menjadi lebih parah dan merosakkan generasi akan datang,” katanya.

Dalam laporan, antara mangsa jenayah siber itu adalah kanak-kanak seawal usia 10 tahun menunjukkan pemangsa pedofilia masih aktif di laman maya untuk menjerat mangsa yang masih naif membuat keputusan.

=EZY=


Pengarang :