Kerajaan Kedah perlu serius urus sampah dan sisa pepejal | Selangorkini


Kerajaan Kedah perlu serius urus sampah dan sisa pepejal

OLEH Dato’ Johari Abdul

Saya membaca satu laporan Sinar Harian terbaru mengenai masalah peneroka di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang berkenaan masalah penempatan lokasi pelupusan sampah yang tidak sesuai dan menyebabkan pencemaran bau berlaku.

Masalah pengurusan sampah dan sisa pepejal sudah menjadi satu kebiasaan yang dihadapi oleh rakyat Negeri Kedah.


Pada bulan Ogos yang lalu, media-media nasional telah mendedahkan kegagalan loji insinerator di Langkawi untuk berfungsi yang menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Kilim.

Meskipun dikatakan terdapat program kitar semula yang dijalankan di kawasan Alor Setar, namun kempen tersebut masih tidak berkembang ke kawasan-kawasan pekan dan luar bandar.

Di zon petempatan desa misalnya, saya melihat sebahagian rakyat Kedah masih mengamalkan pembakaran sampah dan sisa pepejal secara terbuka, ini disebabkan ketiadaan perkhidmatan pungutan sampah yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Meskipun pembakaran terbuka dikatakan kaedah paling cepat untuk melupuskan sampah dan sisa pepejal, namun pastinya keadaan ini menyebabkan pencemaran asap berlaku, tambahan pula dengan pelepasan gas-gas kimia sekiranya bahan plastik juga dibakar bersama.

Untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang maju, sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri memberi peruntukan tambahan bagi tujuan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan bandar dan luar bandar.

Bantuan kewangan untuk kempen kitar semula juga diperlukan bagi memberi kesedaran terhadap orang ramai.

Di samping itu, Kerajaan negeri perlu serius dalam melaksanakan program pembangunan dan penyelidikan berkaitan hal ini, melalui kerjasama dengan institusi-institusi tempatan, misalnya Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan aktiviti sawah padi, Kerajaan Negeri wajar mempertimbangkan projek pengkomposan sisa-sisa padi.

Merujuk pada beberapa kertas kajian, jerami padi yang dibuang berpotensi untuk dijadikan kertas, sekiranya projek kitar semula diadaptasi dan dikomersialkan.

Bahkan sekam padi mampu dijadikan bahan bakar yang sesuai untuk janakuasa elektrik yang menggunakan tenaga biojisim.

Selaras dengan kenyataan Pakatan Harapan yang menyarankan pembangunan tenaga boleh baharu dilaksanakan, saya menggesa pihak kerajaan negeri mempertimbangkan idea-idea ini.

Kewajaran untuk bertindak segera merupakan langkah terbaik dalam mengurangkan kadar sisa pepejal yang dikatakan sebanyak lebih 1000 tan dijana setiap hari di negeri Kedah.

Saya berharap pihak kerajaan negeri ambil maklum, memperkasakan, mempertingkatkan dan melakukan pemantauan supaya negeri ini kekal bersih dan rakyatnya sihat.

* Dato’ Johari Abdul adalah Ahli Parlimen Sungai Petani Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next