Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap takziah kepada keluarga Jins Shamsuddin

SHAH ALAM, 2 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia, semalam, kerana sakit tua.

Menerusi Twitter, beliau berkata, kehilangan seniman lagenda itu dirasakan seluruh rakyat Malaysia dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.

“Sebutir lagi kerlipan bintang filem Malaysia sirna. Takziah buat keluarga Allahyarham TS Jins Shamsuddin yang kembali ke rahmatullah.

“Didoakan semoga Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan mendapat husnul khatimah serta ditempatkan di syurga yang penuh nikmat. Al-Fatihah,” tulisnya.

Semalam, anak Allahyarham, Putera Hang Jebat berkata, bapanya mengadu sesak nafas ketika sedang menikmati makanan di rumah mereka di Hulu Klang, dekat sini.

Katanya, ayahnya itu kemudian dibawa ke Klinik Idzham di Taman Melawati oleh ibunya iaitu Puan Sri Halijah Abdullah dengan bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan.

“Apabila tiba di klinik berkenaan, keadaan Allahyarham menjadi lemah sehingga beliau menghembuskan nafas terkahir,” katanya lapor MStar.

Tan-Sri-Jins-Shamsuddin-Meninggal-Dunia-ROTIKAYA-700x421Jins atau nama sebenarnya Mohamed Jins Shamsuddin dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935 dan mula berlakon selepas berjaya dalam uji bakat dilakukan Tan Sri P Ramlee.

Beliau memegang watak utama dalam filem Pancha Delima, pada 1957 dan menjadi ejen perisik dengan watak Jefri Zain dalam Gerak Kilat.

Filem lakonan dan arahannya iaitu Bukit Kepong antara karya yang turut mengangkat nama Allahyarham terutamanya dalam penghasilan filem berunsur sejarah.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah diangkat sebagai Senator dan seterusnya menerima ijazah kehormat Sarjana Persuratan dari Univesiti Sains Malaysia, pada 1999 serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti sama, pada 2010.

Jenazah dijadual dikebumikan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang kira-kira jam 11 pagi ini.

-AA-


Pengarang :