MIDA fokus tarik pelaburan sektor pembuatan solar | Selangorkini


MIDA fokus tarik pelaburan sektor pembuatan solar

SHAH ALAM 15 MAC: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mahu menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan solar memandangkan Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, MIDA mahu menarik lebih banyak penyertaan daripada syarikat, sama ada untuk pelaburan baharu atau kepelbagaian aktiviti.

“Sektor perkilangan solar adalah sangat sofistikated dan sudah banyak berubah berbanding lima tahun lepas, kerana ia menuntut kualiti, kecekapan dan teknologi.


“Malaysia telah membangunkan infrastruktur yang betul, daripada semikonduktor sehingga kepada persekitaran yang kondusif bagi industri solar.

“Sekarang kami telah bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri solar,” katanya lapor BERNAMA.

Azman berkata Malaysia berada pada kedudukan nombor tiga di dunia dalam industri pembuatan solar, China pada tempat pertama dan Taiwan di tempat kedua.

Terdahulu, dalam ucapannya, Azman berkata dalam tahun lepas sahaja, MIDA telah menarik tujuh projek pembuatan solar dan 83 projek tenaga yang boleh diperbaharui dalam industri terbabit, masing-masing bernilai RM1.77 bilion dan RM650 juta.

Katanya, pelaburan terbesar adalah daripada Xi’an LONGi Silicon Materials Corp, sebuah syarikat solar fotovoltan (PV) yang terkemuka dari China.

Syarikat itu telah melabur sebanyak RM1.06 bilion bagi mengasaskan kilang solar bersepadu untuk menghasilkan jongkong solar, modul dan sel wafer di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di Kuching, Sarawak.

Katanya, Malaysia telah juga berkembang dengan ketara dalam industri solar PV sejak sedekad lalu dan pada 2015, sebanyak 48 projek solar telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM28 bilion untuk menghasilkan wafer, sel, modul dan komponen sistem solar.

“Daripada ini, sebanyak 95.3 peratus adalah daripada pelaburan asing, dan selebihnya daripada sumber domestik. Projek-projek terbabit mencipta sejumlah 26,700 pekerjaan,” katanya.

Azman berkata, kajian terbaharu MIDA menunjukkan bahawa pada 2016, nilai eksport dan aktiviti penyumberan tempatan oleh syarikat solar yang terkemuka dalam negara ini mencecah masing-masing sebanyak RM11.1 bilion dan RM1.42 bilion.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next