‘Night Court’ bantu hak wanita selesai krisis rumahtangga | Selangorkini


‘Night Court’ bantu hak wanita selesai krisis rumahtangga

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 MAC : Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri, Dr. Daroyah Alwi menyarankan golongan wanita mengambil peluang terhadap perubahan positif yang dilaksanakan Institusi Kehakiman Syariah di Selangor.

Beliau berkata, pendekatan terbaru lanjutan prosiding pada waktu malam dan Projek Kit Mahkamah bergerak memudahkan proses semakan kehakiman dan lanjutan perbicaraan kes-kes syariah semasa.


“Golongan wanita di negeri ini tidak perlu merasa berat hati untuk hadir ke sana (mahkamah syariah) bagi menyelesaikan urusan melibatkan hukum dan undang-undang.

“Bahkan, mereka boleh meletakkan kepercayaan dan keyakinan dalam menjaga hak serta kebajikan para wanita serta keluarga.

“Institusi kehakiman ini juga menjadi tempat rujukan mendapatkan khidmat nasihat dan menyelesaikan masalah rumah tangga serta menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan dan keruntuhan rumah tangga,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis pada Khamis.

Sebelumnya, Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar, memperkenalan Reformasi Institusi Mahkamah Syariah yang memperlihatkan perkembangan positif dalam institusi kehakiman Syariah.

Antara inisiatif dijalankan termasuklah memperkenalkan Rumah Transit Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) kepada mereka yang berurusan di mahkamah Syariah negeri, tetapi tinggal jauh dan menghadapi masalah kewangan untuk tinggal atau menyewa hotel.

Keberkesanannya, mahkamah syariah dapat mengadakan sesi perbicaraan pada sebelah malam atau ‘Night Court’ bagi membantu mereka yang sukar menghadiri prosiding pada waktu siang.

Turut diperkenalkan adalah sistem Mobile Court Kit (MCK) sebagai peranti dicipta untuk kemudahan atau fungsi mahkamah bergerak secara praktikal dan boleh dibawa ke mana-mana bagi prosiding mahkamah di luar bangunan.

Daroyah berkata, inisiatif tersebut memberi banyak kemudahan, sekali gus keadilan kepada semua pihak melalui jaminan perkhidmatan yang terbaik, cepat, efektif dan efisien.

“MCK boleh dibawa secara praktikal bagi pengurusan mahkamah di luar bangunan seperti di perkampungan Orang Asal, hospital atau rumah mereka yang tidak dapat hadir atas sebab sakit atau cacat anggota yang menghalang mereka hadir ke mahkamah,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Mohd Ezli Mashut


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next