OKU cacat penglihatan, sertai larian marathon wanita | Selangorkini


OKU cacat penglihatan, sertai larian marathon wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MAC : Biarpun mempunyai kekangan untuk melihat seperti individu normal, namun ia tidak menghalang Kiew Oi Yang, 51 menyertai larian Malaysia Women Marathon (MWM) buat kali keempat berturut-turut.

Beliau berkata, penyertaannya itu bagi membuka minda masyarakat bahawa Orang Kelainan Upaya (OKU) sepertinya juga mampu terlibat secara aktif dalam bidang sukan dan aktiviti lasak.


“Ini penyertaan kali keempat. Walaupun kali ini pergerakan saya agak perlahan berbanding tahun sebelumnya, saya tetap berpuas hati dan sentiasa bersemangat untuk menyertai program ini akan datang.

“Ia pengalaman yang cukup positif buat saya untuk tidak merasa rendah diri walaupun berstatus OKU,” katanya kepada SelangorKini.

Oi Yang sebelum ini mempunyai masalah katarak sejak lahir sebelum disahkan buta sepenuhnya pada usia 28 tahun.

Katanya, aktiviti kesukanan lasak bukanlah perkara baharu bagi dirinya – memandangkan pengalamannya sebelum ini pernah mendaki bukit dan gunung bersama rakan-rakannya.

“Saya gemarkan aktiviti sukan seperti berbasikal, berlari, bersenam di gymnasium dan sudah dua kali saya mendaki gunung di Sabah pada 1998 dan 2014 lalu,” katanya penuh teruja.

Beliau turut ditemani rakannya yang juga memegang status OKU cacat penglihatan sejak lahir, Nurul Kharani Choi Abdullah, 42.

“Saya terpanggil untuk menyertai larian ini untuk menjalani kehidupan lebih sihat.

“Diharap OKU lain di luar sana tidak berasa tersisih walaupun mempunyai kekurangan, tetapi golongan seperti kami juga mampu untuk berdaya saing,” katanya.

Kedua-duanya memulakan larian seawal jam 7.40 pagi dan menamatkan larian pada jam 9.00 pagi di laluan trek enam Kilometer (KM).

Mereka diiringi petugas program (MWM) dan kenalan rapat masing-masing.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor

Mohd Ezli Mashut


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next