Ombak laut alternatif jana tenaga elektrik | Selangorkini


Ombak laut alternatif jana tenaga elektrik

SHAH ALAM 19 MAC: Pukulan ombak laut boleh dijadikan satu lagi usaha menjana tenaga elektrik alternatif berbanding sumber diperolehi negara pada masa kini.

Usaha terbaru itu dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi projeknya dikenali ‘Hydraulic Wave Energy Converter System’ yang berperanan menyerap kuasa ombak sebelum diproses menjadi sumber tenaga elektrik.

Projek berkenaan adalah hasil tenaga dan fikiran tiga orang pelajar ijazah
sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT bersama pensyarah mereka, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim selaku ketua, lapor BERNAMA.


Seorang anggota kumpulan itu, Khairul Anwar Mohmad, pelajar Ijazah Sarjana Fizik (Tenaga Diperbaharui) berkata, kawasan UMT yang berhampiran dengan laut sesuai untuk pelaksanaan projek itu.

Inovasi itu menyerupai aplikasi penggunaan tenaga berasaskan sumber cahaya suria (sistem solar) dan sumber angin (sistem kincir).

Beliau berkata, sistem itu akan ditempatkan di kawasan pantai berhampiran UMT, dan bersifat kalis air serta tahan lasak untuk menerima pukulan ombak.

“Bila sistem ini menerima pukulan ombak setinggi tiga meter secara konsisten dalam tempoh satu jam, ia mampu menjana bekalan elektrik sehingga 40kW atau bersamaan penggunaan untuk empat buah rumah selama sebulan,” katanya.

Khairul Anwar berkata, pada peringkat awal, tenaga dijana dibekalkan secara percuma kepada masyarakat di perkampungan nelayan di Kuala Terengganu.

Katanya, projek itu mendapat geran RM1.4 juta daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan kini dalam fasa rekaan dan penambahbaikan.

“Kami menyasarkan inovasi ini digunakan sepenuhnya pada 2019 sekaligus memberi bekalan elektrik percuma kepada golongan nelayan ,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next