Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembukaan DNS penuh istiadat diserikan keberangkatan keluarga diraja

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 Tahun 2017.

DNS MAC 17 (19)Isitadat penuh tradisi itu turut diserikan lagi dengan keberangkatan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Kawalan Kehormatan Utama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyembahkan hormat setia sebaik sahaja keberangkatan tiba baginda di Dataran DNS, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK, di sini, hari ini.

Selepas lagu Negeri Selangor dimainkan, baginda berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama TLDM dengan diiringi Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Speaker DNS, Hannah Yeoh.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin kemudiannya bersama Tengku Amir dengan diiringi Mohamed Azmin, Hannah Yeoh dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahya bersama suami dan isteri masing-masing berangkat masuk ke DNS.

Istiadat di Dataran DNS yang disaksikan 56 ahli DNS dan barisan dif kehormat itu turut diiringi pancaragam pusat TLDM.

Istiadat itu kemudiannya diteruskan dengan penyampaikan titah ucapan perasmian baginda, sekali gus menandakan bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 Tahun 2017.

-NFN-


Pengarang :