Pengerusi SPR Selangor perlu tampil beri penjelasan | Selangorkini


Pengerusi SPR Selangor perlu tampil beri penjelasan

OLEH Rodziah Ismail

Saya mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kerajaan Selangor untuk menyoal balas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Datuk Seri Hashim Abdullah di Mahkamah.

Walaupun menghormati keputusan tersebut, saya masih berpandangan isu 136,272 pengundi tanpa alamat yang dibangkitkan kerajaan negeri dalam samannya kepada SPR wajar diberi perhatian.


Tindakan suruhanjaya itu menggunakan maklumat pengundi tidak lengkap dalam melaksanakan cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Selangor sebelum ini telah menimbulkan persoalan dan kemarahan di kalangan rakyat.

Secara jelas hal ini memberi gambaran sikap sambil lewa SPR dan pengerusinya dalam melaksanakan cadangan tersebut.

Saya menuntut Hashim tampil memberi penjelasan kepada umum berhubung tindakan mencurigakan itu. Mengapakah SPR yang diketuainya tetap meneruskan proses persempadanan semula di Selangor walaupun terdapat sejumlah besar pemilih tanpa butiran lengkap dalam daftar pemilih?

Apakah SPR telah melaksanakan proses pembersihan dalam senarai pemilih sebelum melakukan syor persempadanan kawasan pilihan raya?.

Apakah langkah seterusnya yang akan dilakukan SPR dengan senarai 136,272 pengundi tanpa alamat ini? Ingin saya ingatkan, rakyat sedang menilai setiap tindakan yang dilakukan Hashim.

Kegagalan beliau tampil dengan penjelasan munasabah berhubung persoalan-persoalan yang ditimbulkan hanya akan menyebabkan keyakinan rakyat kepada SPR semakin merosot.

Tindakan-tindakan suruhanjaya di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akhirnya akan dilihat sebagai memenuhi agenda tersembunyi pihak tertentu dan bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Saya bimbang keadaan yang tidak diuruskan dengan baik ini akhirnya akan menyebabkan rakyat bosan terhadap sistem pilihan raya Malaysia dan memilih untuk mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
* Rodziah Ismail adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next