SELANGOR

Perkasa infrastruktur OKU, ikut spesifikasi tepat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail mencadangkan Kerajaan Negeri memperkasakan infrastruktur bagi kemudahan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Selangor.

Rodziah berkata, infrastruktur OKU tidak boleh dibuat sambil lewa dan perlu mengikut spesifikasi yang tepat.

Beliau mencadangkan Kerajaan Negeri terus mempunyai mentaliti yang menganggap kemudahan OKU bukan satu bentuk kemudahan ‘secondary’ tetapi infrastruktur ynag mementingkan hak asas ‘e-primary’ dalam pembangunan sesebuah negeri.

Rodziah“Selaras dengan agenda Smart City, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri perlu mula mengaplikasi konsep pembangunan infrastruktur dan perancangan bandar berdasarkam konsep ‘universal design’.

“Ia penting bagi memastikan bukan sahaja golongan OKU, malahan warga emas, kanak-kanak dan ibu bapa yang menggunakan kereta sorong bayi mampu bergerak dengan bebas serta selesa,” katanya pada perbahasan ucapan terima kasih titah DYMM Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat beberapa kawasan yang perlu dinaik taraf untuk kemudahan golongan itu dan orang ramai.

Antara yang dibangkitkan adalah laluan pejalan kaki dari stesen KTM ke stesen bas yang tidak berbumbung, lintasan ‘zebra crossing’ yang tidak selari serta laluan condong yang terdapat di Seksyen 19 tidak mesra OKU.

Pada masa sama, Rodziah turut melahirkan rasa bangga di atas kemajuan Bas Smart Selangor yang mempunyai kemudahan berciri OKU fizikal dan pengguna kerusi roda selain pemandu bas yang cekap serta mesra terhadap penumpang OKU.

-NFN-


Pengarang :