PKNS lancar Selangor Cyber Valley, model bandar pintar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PKNS lancar Selangor Cyber Valley, model bandar pintar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) komited membangunkan model Smart City menerusi pembangunan terbarunya, Selangor Cyber Valley (SCV) selari gagasan Smart Selangor yang ditunjangi Dato’ Menteri Besar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof berkata, pusat pembangunan Smart City SCV seluas 1,300 ekar itu akan dilaksanakan secara berfasa berteraskan sembilan konsep utama.


Katanya, ia meliputi konsep bandar selamat, mesra perniagaan, bandar efisien, bandar pendidikan, bandar hijau, bandar inovasi, bandar komuniti pintar dan premis pintar, sekali gus menjadikan bandar vibran serta lestari.

Beliau berkata, konsep itu turut diperkuatkan dengan elemen ‘internet of things’ dengan ciri ‘smart and well connected’ daripada aspek infrastruktur dan aksesibiliti.

“Tambah menarik, dengan terbinanya laluan Transit Aliran Massa atau Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, pembangunan ini ditakrifkan sebagai bandar terancang berteknologi tinggi dengan sistem e-perkhidmatan bagi hab kediaman dan komersial.

“Ia boleh mengurangkan jurang digital selaras konsep pembangunan yang menitikberatkan ‘work-live-play’ mencerminkan gaya hidup moden masa kini,” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini.

Acara simbolik pelancaran projek itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Noraida berkata, keunikan bandar SCV juga dilengkapi saluran rangkaian kabel gantian optik untuk jaringan berkelajuan tinggi serta pembangunan aplikasi mudah alih bagi sebarang aduan awam.

CP2A1412-800x533Katanya, SCV turut menawarkan jaminan kualiti keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem lampu trafik pintar serta peranti pengesanan alam sekitar bagi tujuan indikasi kualiti alam sekitar dari masa ke masa.

“Sebagai permulaan, Fasa 1 meliputi kawasan seluas 25 kilometer persegi dengan menerapkan beberapa ciri yang akan dikawal selia Pusat Kawalan Bersepadu yang akan dibangunkan kelak.

“Bandar terancang ini dirangka dengan menekankan aspek rangkaian perhubungan lebih luas di samping mempertingkatkan kadar penyediaan tenaga, air dan sistem pengurusan sisa.

“Pembangunan bercampur di SCV merangkumi kediaman, Taman Industri yang menerapkan elemen hijau atau dikenali sebagai ‘green and sustainable industry’, pusat komersial, institusi pendidikan dan kemudahan awam lengkap,” katanya.

Beliau berkata, PKNS optimis SCV mampu menjadi antara bandar ideal yang sesuai didiami di Selangor.

“Sebagai pemaju utama dalam pembangunan ini nanti, PKNS akan turut disertai oleh anak syarikat PKNS iaitu Selangor Industrial Corporation (SIC) yang akan menjadi pengurus dan penyelaras konsep pembangunan prasarana berdasarkan ‘Smart City Initiative’,” katanya.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next