PKNS tawar 1,157 unit hartanah tahun ini | Selangorkini


PKNS tawar 1,157 unit hartanah tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 12 projek baru membabitkan 1,157 unit hartanah dilancarkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraida Mohd Yusof berkata, projek itu terletak di lapan lokasi iaitu Kota Damansara, Rasa, Kota Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi, Shah Alam, Kuala Selangor dan SCV berharga antara RM180,000 hingga RM1.9 juta.


Katanya, sejak ditubuhkan pada 1964, PKNS berjaya membina 159,956 unit pelbagai jenis kediaman dengan 62 peratus atau 99,351 unit adalah projek kos rendah dan sederhana.

“Manakala, 60,605 unit lagi atau 38 peratus terdiri daripada projek kos tinggi. Seiring dengan agenda utama Kerajaan Negeri dalam melihat rakyat memiliki kediaman, PKNS turut memberi fokus kepada pembangunan rumah mampu milik atau dikenali sebagai Rumah Selangorku.

“Sehingga kini, PKNS menyiapkan 1,675 unit di Bukit Botak Selayang, Bandar Baru Bangi dan Antara Gapi dan 278 unit lagi disasarkan dapat menemui pembeli tahun ini.

“Ia membabitkan projek di Kota Puteri dan Antara Gapi, manakala 178 unit berjaya disiapkan anak syarikat PKNS iaitu Worldwide Holdings Berhad,” katanya ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini.

CP2A1412-800x533Pada masa sama, Noraida berkata, pembinaan rumah mampu milik dapat dilaksanakan menerusi keuntungan yang dijana daripada projek ekonomi dan berharga tinggi.

Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS.

“Kos subsidi yang ditanggung PKNS adalah RM20,000 hingga RM30,000 bagi seunit rumah mampu milik.

“Elemen ‘cross subsidy’ ini adalah hasil daripada keuntungan projek harga tinggi PKNS yang dibangunkan untuk menampung projek sosial kami,” katanya.

Selain itu, katanya, PKNS akan memperkenalkan Program Smart Ownership dengan tawaran diskaun sehingga 12 peratus kepada pembeli bumiputera dan bukan bumiputera.

“Menerusi Skim 1st Ownership, pembeli hartanah pertama PKNS ditawarkan diskaun 10 peratus, manakala menerusi Skim Loyalty PKNS iaitu bagi pemilik hartanah kedua atau lebih, ditawarkan diskaun sebanyak 12 peratus.

“Menerusi kedua-dua skim ini, pembeli turut ditawarkan sifar bayaran pendahuluan dan PKNS akan menanggung kos perjanjian jual beli serta ‘memorandum of transfer’ bagi projek terpilih,” katanya.

-AA-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next