Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

RM29.02 juta disalur kepada tiga jenis sekolah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor sudah menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM29.02 juta kepada tiga jenis sekolah pada 2014 hingga 2016.

Mengikut pecahan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Persendirian Cina menerima RM17.02 juta manakala Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima RM12 juta.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebanyak 241 permohonan bantuan persekolahan ditolak pada 2016.

“Kita meminta setiap sekolah mengisi borang dan kita menilai rekod penerimaan sebelum itu.

“Jika sekolah telah menerima bantuan pada tahun lepas, mereka bukan berada dalam senarai keutamaan untuk menerima bantuan pada tahun ini sekiranya kita tidak mempunyai peruntukan yang cukup.

“Kita juga melihat kepada jumlah pelajar serta keperluan apa yang mereka minta. Sekiranya ia keperluan mendesak kita akan berikan keperluan sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Menurutnya, program bantuan sekolah dibawah Kerajaan Negeri diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), SRJKC, SRJKT, Sekolah Persendirian Cina.

Dua lagi jenis sekolah juga ditambah pada tahun ini iaitu Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.
=EZY=


Pengarang :