Samrizat, pengidap autisme buka pusat pendidikan khas OKU | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Samrizat, pengidap autisme buka pusat pendidikan khas OKU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 21 MAC: Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa diingatkan supaya tidak berputus asa untuk memberi pendidikan kepada golongan terbabit kerana anak-anak ini juga mampu berjaya dalam kehidupan masing-masing setelah dewasa.

Perkara ini dibuktikan oleh ahli perniagaan yang juga pemilik Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill, Samrizat Sazli Samsudin, 36 tahun, apabila berjaya membuka pusat pendidikan khas untuk anak-anak istimewa di Salak Tinggi, Selangor sejak enam bulan lalu.


Ketika mengimbas kembali pengalaman beliau membesar sebagai pengidap autisme, Samrizat berkata, beliau sama seperti kebanyakan pengidap autisme lain yang mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Masa saya kanak-kanak, walaupun saya dalam dunia saya tersendiri tetapi saya ada kelebihan mampu mengingati angka yang banyak hingga lebih 30 angka yang disusun secara rawak.

“Bagaimanapun seluruh ahli keluarga saya, kawan-kawan dan kemudian bila dah berkahwin, isteri saya melayan saya seperti orang normal tetapi dengan cara tertentu. Saya berterima kasih kepada mereka semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyampaian sumbangan Kerajaan Negeri kepada dua pusat pendidikan khas di Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall di sini, semalam.

Jelasnya, pengalamannya sebagai pengidap autisme itu juga menjadi inspirasi beliau membuka Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill bagi membantu golongan istimewa itu lebih mampu berdikari.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan RM50,000 daripada Kerajaan Negeri yang digunakan untuk menaiktaraf Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill.

Mengulas sambutan masyarakat terhadap Pusat Pendidikan Khas Andra Uphill, beliau memberitahu hingga kini terdapat permintaan tinggi termasuk daripada mereka yang tinggal di luar Selangor.

Manakala Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, pula berharap suatu hari nanti Selangor menjadi hab pendidikan khas untuk anak istimewa seluruh negara.

“Di Singapura, pusat pendidikan khas ini menjadi industri apabila terdapat ibu bapa dari luar negara sanggup berpindah ke Singapura semata-mata untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak autisme mereka.

“Jika diusahakan dengan baik dan prasarana yang betul, Selangor juga mampu menjadi hab pendidikan khas seperti Singapura. Ini impian saya,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next