Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor-Taipei meterai MOU Smart State, inisiatif pembangunan negeri pintar

ccsb-ads

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 28 MAC: Selangor konsisten memacu kepada pertumbuhan gagasan Smart State menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bersama bandar Taipei.

Persefahaman itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri mencapai status Smart State, menjelang 2025.

Majlis itu disaksikan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Bandar Taipei, Dr Ko Wen-Je, di Dorset Grand Subang, di sini, semalam.

Tiga agensi Kerajaan Negeri membabitkan penyertaan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Selangor Digital Creative Centre dan Jawatankuasa Pelaburan, Industri, Perdagangan, PKS dan Pengangkutan menandatangani MOU persefahaman bersama dengan bandar Taipei sebagai asas kerjasama itu.

MOU TAIPEI (14)Wakil Kerajaan Negeri diwakili Ketua Pegawai Eksekutif MBI, YM Raja Shahreen Raja Othman; Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Kim dan Ketua Pegawai Esekutif SDCC, Yong Kai Ping.

Usahasama itu memfokuskan kerjasama pengangkutan pintar meliputi pembangunan sistem perkongsian basikal awam untuk rakyat Selangor dan galakan penggunaan kenderaan elektik di seluruh negeri.

Penumpuan seterusnya turut memfokuskan kepada usaha berterusan untuk membangunkan polisi Smart State yang bakal diusahakan MBI melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Disokong sepenuhnya Selangor Information Technology E-Commerce Council (SITEC), MOU itu turut melaksanakan kerjasama komuniti Start-Up antara dua pihak terbabit bagi meluaskan lagi pegangan pasaran domestik dan luar negara.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar dalam ucapan pemeteraian MOU berkata, beliau optimis kerjasama berkenaan mampu mengukuhkan pembangunan Smart State di negeri itu.

“MOU ini diyakini mampu merealisasikan hasrat pentadbiran negeri untuk kekal menerajui pembangunan Smart State yang lebih mampan, menjelang 2025.

“Dengan salah satu tumpuan MOU ini, saya percaya hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri bebas karbon juga mampu dijayakan hasil galakan penggunaan kenderaan elektrik dan kaedah ‘smart solution’ di seluruh negeri,” katanya.

-NFN-


Pengarang :