SUKANKINI

SELDEAF raih dua emas di Kejohanan Olahraga Pekak Kebangsaan 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Kontinjen Persatuan Orang Pekak Negeri Selangor (SELDEAF) mencipta sejarah apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Pekak Kebangsaan 2017 pada 16 hingga 20 Mac lalu di Kluang, Johor.

Dua emas itu disumbangkan Muhamad Najib Mohd Said menerusi acara lompat jauh dengan catatan 5.94 meter sementara Aameera Ariesya Mohd Shahid mengungguli acara lompat tinggi pada ketinggian 1.22 meter.

Tiga pingat perak disumbangkan Aameyra Ariesya Mohd Shahid (lompat jauh), Asuvini Gobi (100 meter) dan acara pecut wanita 4×100 meter manakala pingat gangsa tunggal disumbangkan Nurul Syafiqah Ja’far dalam acara pecut 100 meter.

SELDEAF (1)Presiden SELDEAF, Sarkunan Balakrishnan gembira dengan prestasi atlet yang terus mempamerkan peningkatan dengan membawa pulang enam pingat secara keseluruhan dalam kejohanan kali ketiga ini.

“Terima kasih kepada Pengurus Olahraga Annie Thum, pegawai dan jurulatih kerana menjalankan tanggungjawab cemerlang dalam membawa kontijen Selangor ke Kejohanan Olahraga Pekak Kebangsaan di Johor.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) kerana membantu mempermudahkan perjalanan ke kejohanan tersebut,” katanya.

Terengganu mengungguli kejohanan selama lima hari itu dengan kutipan enam emas, tiga perak dan tiga gangsa mengatasi saingan Sabah yang mengumpul enam emas, dua perak dan empat gangsa.

Tuan rumah, Johor mencatatkan jumlah kutipan pingat tertinggi dengan 20 pingat ketiga mengatasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

-nR-


Pengarang :