Seunit apartmen terjejas tanah runtuh di Bukit Antarabangsa | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Seunit apartmen terjejas tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

SHAH ALAM 20 MAC: Sebuah unit apartmen di Bukit Antarabangsa terjejas dalam kejadian tanah runtuh petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 4 petang yang melaporkan berlaku runtuhan tanah di apartmen berkenaan.

“Sepasukan bomba penyelamat Ampang yang tiba di lokasi bagi memantau kejadian berkenaan mendapati berlaku pergerakan tanah sedalam lima meter,” katanya lapor BERNAMA.


Mohd Sani berkata pemeriksaan selanjutnya dijalankan di sekitar kawasan apartmen itu, namun tidak menemui sebarang kerosakan teruk kecuali bahagian belakang apartmen berkenaan terjejas.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan perkara ini telah diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk tindakan seterusnya, katanya.

Sementara itu, hujan lebat yang melanda ibu negara petang semalam menyebabkan 11 jalan utama terjejas teruk akibat banjir kilat, kata Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani.

Beliau berkata hujan lebat yang turun secara berperingkat itu berlaku kira-kira jam 3 petang tadi mengakibatkan banjir di sebahagian Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Semantan, Jalan Maarof, Jalan Dutamas serta Jalan Duta.

“Jalan lain yang turut terjejas ialah sebahagian Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Putra, Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlaku kesesakan tetapi terkawal,” katanya.

Sementara itu, Samsol Maarif berkata pihaknya terpaksa menggunakan dua pam bagi menyedut air dari tingkat bawah tanah bangunan Wisma Teck di Jalan Tun Perak yang dinaiki bah setinggi 2.1 meter.

Selain itu katanya banjir turut menenggelami tingkat bawah tanah bangunan Bank Muamalat menyebabkan kira-kira 15 kenderaan terjejas.

Ditanya mengenai punca banjir kilat, Samsol Maarif berkata antaranya ialah Terowong SMART tidak melepaskan air selain kadar hujan yang tinggi iaitu 60 milimeter dalam tempoh satu jam.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next