SOT peluang kembang bakat kreativiti | Selangorkini


SOT peluang kembang bakat kreativiti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: School of Thought anjuran Selangor Youth Community (SAY) bersama UiTM Holdings Sdn Bhd menjadi medan pelukis muda memperkembangkan hasil karya dan bakat seni lukis ke masyarakat umum.

Pameran lukisan di Segaris Art Center, White Box Publika Solaris Dutamans, Kuala Lumpur memberi peluang kepada 70 pelukis muda daripada 13 institusi seni lukis ruang menunjukkan kebolehan dan hasil latihan memperkenalkan daya kreativiti pengkaryaan mereka untuk tatapan umum.


Salah seorang penghasil karya bertajuk Dreams, Aizat Amir Ahamd Sanusi, 28, berkata sepanjang enam tahun beliau dalam bidang seni, itu adalah pertama kali program yang menggabungkan semua hasil karya dari seluruh Malaysia dalam satu galeri.

Katanya lagi, program itu bukan sekadar membantu golongan muda malah pengkarya lama dan alumni dari institusi di Malaysia menunjukkan bakat kerana seni ini sangat luas bidangnya bukan terletak kepada lukisan semata.

“Setiap karya dihasilkan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Walaupun masih ada mentaliti rakyat belum pandai menilai sesebuah karya itu, namun dengan ada program ini, kita dapat menerangkan setiap penghasilan karya ada maksudnya yang tersendiri.

“Di Malaysia kalau kita pilih jalan dalam bidang seni, ia bukan boleh terus berjaya dalam masa singkat, sebab itu bagusnya program seperti ini memberi kami peluang mengembangkan hasil karya ke peringkat antarabangsa mungkin,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Rekaan Komunikasi Visual di Aswara.

Walaubagaimanapun, melihat kepada penganjuran seperti ini dapat dilihat kerajaan juga sudah mula penghargai pengiat seni tanah air.

Bercakap tentang hasil karyanya yang bertajuk ‘dreams’, beliau mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya.

“Lukisan ini saya buat berdasarkan daripada pengalaman dari kecil serta impian yang ingin saya capai pada ketika itu, sebab itu ia dilukis dengan dua refleksi muka yang berbeza,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala bekas graduasi Universiti Sunway, Shannen Totten, 22, berkata, program itu merupakan platform khusus bagi pada graduan muda seperti beliau mempamer dan menawarkan bakat.

“Selain itu, program ini memberi peluang kepada penggiat seni di Malaysia untuk saling mengenal, menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta mendapat inspirasi antara satu sama lain.

“Bagi pelukis muda seperti saya, inilah peluang saya meneroka bidang ini lebih luas dan membawa hasil karya ke pasaran,” katanya.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the author

BERITA BERKAITAN

Prev
Next